Wednesday, August 11, 2010

Gejolak hati Aliff






SAAT menerima sepucuk surat pengesahan kemasukan Perkhidmatan Negara Singapura pada September 2009, Aliff Aziz, 19, tidak mampu membendung kesedihan. Ironinya, dia kecamuk rasa untuk berpisah sementara dengan keluarga dan karier sedang naik sementelah pasti ada transisi sepanjang dua tahun berlindung di bawah satu bumbung bersama ribuan peserta program berkenaan.
Puas memujuk dan menenangkan hati sendiri ditambah menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada kedua orang tua, anak muda tinggi lampai itu bagaimanapun terpaksa akur dengan 'seruan' yang mewajibkan dirinya mengerah segala keringat sebagai salah seorang warganegara bertanggungjawab.

"Sedih macam mana sekalipun, Khidmat Negara tidak mampu dielak oleh setiap kaum lelaki dan penghuni tetap generasi kedua di negara ini apabila mencapai usia 18 tahun. Mahu atau tidak, saya tetap kena hadapi program ini bersama rakan sebaya lain," kata Aliff yang mula ada sedikit keyakinan apabila dijelaskan keluarga pengalaman dalam kem tidak seteruk seperti disangka.

Mendaftar masuk hari pertama di pusat latihan Khidmat Negara penghujung tahun lalu, pemilik nama penuh Mohamad Aliff Aziz masih tidak mampu menerima hakikat. Tambahan pula, album baru, It's Aliff's Time baru disempurnakan pada bulan sama, dia berasa ralat kerana tidak berkesempatan melakukan promosi. 

"Hari pertama masuk, saya terlibat dengan orientasi dan melafaz ikrar setia sebagai rakyat Singapura. Kemudian, saya dapat uniform dan kena membotakkan rambut sebelum diagih kepada kumpulan digelar platun Alfa Company yang menghimpun seramai 100 peserta.



ALIFF tidak mahu peminat melupakannya dan album terbarunya diharap menjadi pengubat rindu.



"Dalam tempoh seminggu, baru saya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta hilang sikit kerinduan terhadap famili. Lama juga masa diambil kerana sebagai artis dan dikenali ramai, ia membuatkan saya berdepan tekanan diganggu orang lain. Tetapi, lama-kelamaan, saya mula okey dengan peserta lain sampaikan jadi rapat pula dengan mereka.

"Tiga bulan pertama menjalani program ini tidak dinafikan sangat sukar. Bayangkan, saya yang memulakan hari seawal 5 pagi dan berakhir 5.30 petang kena berbaris di bawah terik mentari dan lakukan latihan menguji fizikal serta minda. Boleh cakap, saya kurang tidur dan penat tidak terkira," ungkap Aliff yang dilahirkan pada 16 Februari 1991.

Selepas tiga bulan berlalu, jejaka berbintang Aquarius itu mula ditauliahkan jawatan sebagai pelatih bagi memantau peserta untuk kemasukan baru. Waktu itu, Aliff menerima sedikit kelonggaran kerana hari bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang. 

"Biarpun jadual agak ketat sepanjang hari, saya dan peserta lain bagaimanapun tetap dapat kebenaran untuk pulang ke rumah pada hari Jumaat dan pulang semula ke pusat latihan Ahad malam," jelasnya yang menghabiskan hujung minggu mengubat rindu dengan ahli keluarga dan memberi tumpuan terhadap kecintaannya dalam seni.

Lebih matang
Selepas beberapa bulan menggalas amanah sebagai peserta Khidmat Negara, dia mula melihat banyak perubahan dalam diri. Pada waktu sama, dia menyertai Pasukan Pertahanan Awam Singapura. Ia sedikit sebanyak mendidik Aliff menjadi insan lebih matang dan mengambil berat terhadap orang lain.


ALIFF akan menghabiskan latihan khidmat Negara Singapura dalam masa 17 bulan akan datang.



"Pasukan ini mengajar saya tentang tugas ahli bomba dan kumpulan paramedik yang memfokus cara menyelamatkan orang lain dan harta benda. Senang cerita, ia lebih terarah soal menghulur bantuan kecemasan apabila diperlukan sesiapa di sekeliling kita.

"Saya sebenarnya baru sedar Khidmat Negara punya signifikan tersendiri dalam hidup kami sebagai rakyat Singapura. Hendak cakap terlalu suka, saya percaya tidak ramai rakan seusia lain menyukai program yang mengambil jangka masa panjang ini.

"Cuma, saya nampak ada kelainan dalam diri termasuk berat badan mula naik. Selain itu, saya dapat menjaga paras kesihatan kerana sering jalankan pelbagai tugas mencabar dan mengajar diri jadi orang lebih berdisiplin dalam hidup serta kerjaya," tutur Aliff yang tinggal 17 bulan lagi bagi mengakhiri kursus Khidmat Negara.

No comments:

Post a Comment

Islamic Greeting Card