Tuesday, August 31, 2010

Ella kunci mulut

DALAM usia 44 tahun, pastinya Ratu Rock, Ella sering ditanya bila mahu menamatkan zaman dara. Bukan tidak pernah timbul cerita mengenai percintaannya dengan seseorang, malah bakal berkahwin dengan jejaka pilihan. Namun sehingga kini, Ella atau nama sebenar, Nurzila Aminuddin masih membujang.

Terbaru, timbul gosip Ella hangat bercinta dengan jejaka muda yang dikenali sebagai Elan, 28, atau nama sebenarnya, Elan Hasyim Abd Rahman. Bibit percintaan mereka dikatakan bermula tahun lalu ketika Elan bekerjasama dengan Ella menghasilkan kulit album kompilasi penyanyi itu.

Ketika diajukan lebih lanjut mengenai perhubungan mereka, Ella cuba mengelak dan memberi jawapan selamat, no comment! Ternyata Ella memilih untuk berdiam diri mengenai cinta barunya ini, mungkin tidak mahu kisah lama berulang kembali apabila dirinya dituduh sengaja menjaja cerita kisah peribadi untuk menarik perhatian media.

Apabila mendapat ucapan tahniah dan mendoakan cepat bertemu jodoh, dalam nada bergurau, penyanyi ini menjawab Insya-Allah dan minta doakan agar jodohnya sampai.

Ella juga hanya tersenyum penuh makna apabila diusik mengenai aksi manjanya dengan Amir, pemain gitar utama yang mengiringi persembahannya ketika menjayakan konsert 1Malaysia Love Music sempena KL Tower Music Fest 2010 yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lebih-lebih lagi apabila Amir membuat kejutan buat Ella ketika jam melepasi 12 tengah malam, menandakan sambutan ulang tahun kelahiran Ella pada 31 Julai. Secara spontan, semua pihak menyanyikan lagu Selamat Harijadi buatnya. Ternyata Ella mengunci mulutnya dengan rapi mengenai cerita peribadi.

Apa yang jelas, Ella memang hebat dan membuat penonton terpegun melihat aksi lincahnya di pentas. Ternyata usia bukan penghalang kerana sepanjang 45 minit persembahan tanpa henti, tidak nampak langsung riak kepenatan di wajahnya. Suaranya tetap merdu seperti dulu.

Dalam konsert itu, Ella membuka pentas dengan lagu rancak Permata Pemotong Permata (PPP) dan mendapat sorakan meriah daripada peminat. Seterusnya, dia menghiburkan dengan barisan lagu popularnya iaitu Dua Insan Bercinta, Bayangan, Nuri, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta dan lagu baru, Menghilang. Semua peminat turut sama menyanyi bersama Ella.

Kepada peminat yang mengikuti perkembangan penyanyi ini, malam itu penuh nostalgia kerana pasti terimbau semula kenangan lalu. Biarpun tidak banyak berinteraksi dengan mereka, peminat yang hadir tetap puas dengan persembahan Ella dalam konsert yang turut menampilkan Amuk, XPDC dan MAY itu.

Kata Ella, dia tiada masalah beraksi lincah kerana mengamalkan penjagaan kesihatan. Malah, gandingan yang baik dengan pemuzik pengiring turut memantapkan lagi persembahannya.

“Saya selalu buat latihan dengan pemuzik yang sama, jadi kami ada keserasian untuk buat yang terbaik dalam konsert ini. Lagipun menghiburkan peminat adalah sebahagian daripada kerja saya. Selain banyakkan latihan, saya juga kurangkan makanan pedas dan terlalu manis. Selain itu, tidur yang cukup juga penting untuk saya.

“Apa pun dalam setiap pekerjaan, minat itu sangat penting. Setiap kali beraksi, saya pasti akan berikan yang terbaik. Saya gembira dapat berkumpul bersama-sama artis seangkatan kerana biasanya saya hanya buat show sendirian. Peluang sebegini tak selalu datang,” katany

Ella yang sudah 25 tahun menyanyi, mengakui banyak perancangan yang akan dibuatnya seperti menghasilkan album terbaru. Sepanjang Ramadan, Ella akan berkurung di studio menyiapkan album terbarunya bersama Warner Music

Sunday, August 29, 2010

Bukan seteru Lady Gaga



MENEGASKAN dia tidak meniru Lady Gaga, sebaliknya idea menghasilkan album Bionic muncul sejak dua tahun yang lalu.



PENYANYI bervokal lantang, Christina Aguilera yang turut digelar Xtina, Baby Jane dan Madame X pernah membikin kejutan apabila mempersoalkan siapa Lady Gaga dalam belantika muzik antarabangsa pada November 2008. Kata-kata Christina itu sedikit sebanyak menebar angin kontroversi akibat dianggap kurang peka terhadap sensitiviti orang lain. 

"Siapa Lady Gaga? Saya tidak pernah dengar tentangnya. Terus- terang, saya tidak ada idea sama ada dia lelaki atau wanita. Lagipun, saya kurang menghabiskan waktu melayari Internet atau jarang ambil tahu perkembangan selebriti lain. Saya sentiasa hidup dalam dunia sendiri kerana hendak berusaha memajukan karier."

Tidak terhenti di situ, konflik Christina - Lady Gaga bagaimanapun berlarutan tanpa mampu dibendung. Enggan memanjang cerita, Lady Gaga kebal dengan pendirian menutup mulut. Christina pula seperti menggali lubang kubur sendiri ketika diwawancara majalah Out tahun lalu, yang sambil tertawa kelucuan menghurai personaliti 'seterunya': "Oh pendatang baru ini? Rasa kelakar apabila tengok dia."

Selepas menyedari bicara tersebut memakan diri, anak kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat itu meluah rasa menerusi laman web rasmi miliknya. Dalam nada rendah diri, dia memuntahkan beragam rasa dalam hati agar isu itu tidak lagi dibangkit kemudian hari.

"Kepada para peminat, di sini saya ingin memperbetulkan situasi yang menjadi perhatian masyarakat. Sejujurnya, mudah saja untuk seseorang beri komen atau kritikan negatif terhadap orang lain sekali gus mewujudkan drama berlaku antara golongan wanita.

"Hakikatnya, saya tiada langsung persengketaan dengan Lady Gaga atau artis wanita lain dalam bisnes hiburan ini. Pada pendapat saya, Lady Gaga merupakan seorang penyanyi yang hebat ditambah dia tidak gentar menampilkan kelainan tersendiri, baik karya mahupun persembahan di atas pentas. 

"Tidak mengambil waktu panjang, Lady Gaga berhasil melakar kejayaan dengan memupuk segenap usaha keras dan fokus terhadap apa saja dilakukan sebelum ini. Tiada lainnya, saya amat hormati dia. Usah perbesarkan lagi cerita ini kerana setiap manusia ada ruang untuk memperbaiki diri. 

"Ini bukan kali pertama saya difitnah tidak senang dengan kemunculan artis wanita baru. Saya harap isu ini jadi yang terakhir. Selepas ini, saya tidak mahu lagi komen tentang 'masalah' dengan Lady Gaga," luah ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Max Liron Bratman yang baru berusia dua tahun setengah itu.
Jika difikir semula, Christina dan Lady Gaga merupakan dua individu berlainan termasuk aliran muzik masing-masing. Christina yang sudah lama memperjuangkan kudrat sebagai anak seni punya kekuatan vokal lebih bagus berbanding Lady Gaga. Malah, pesonanya sendiri membuatkan dia terus selesa dalam liganya meskipun banyak permata baru hadir mengisi posisi kosong bidang seni suara.

Karma

Barangkali terkena tempias hukum karma, figura berusia 30 tahun itu kini dikatakan meniru selebriti yang lekas menjadi fenomena peminat dari seluruh dunia. Paling ketara, Christina dikhabarkan muncul dengan imej baru menyerupai Lady Gaga termasuk fesyen rambut, mekap, pakaian pelik dan koreografi tarian sewaktu mengadakan pertunjukan pentas.

Bercakap soal fesyen, Christina tidak dinafikan selalu tampil dengan stail tertentu. Setiap kali muncul dengan naskhah baru, dia tidak pernah berhenti cuba bereksperimen. Biarpun ada sesetengah gaya kelihatan pelik dan terlalu seksi, Christina bagaimanapun mampu membawa imej baru tersebut tanpa dilihat ada canggungnya.
Cuma, keadaan bertambah kecoh apabila isteri kepada komposer terkenal, Jordan Bratman, 33, itu menghasilkan video muzik single terbaru, Not Myself Tonight dengan elemen yang pernah dipersembahkan Lady Gaga menerusi Bad Romance.
 
Tanpa mengambil masa panjang mempertahankan diri, penghibur terbiasa menganuti jalur muzik pop, R&B, soul dan blues itu memberitahu, tempoh 10 tahun bergelar karyawan membuatkan dia meraih pelbagai pengalaman termasuk sepak terajang dalam industri mencabar itu.

"Selama ini, saya telah menonjolkan pelbagai konsep baik album atau cara berfesyen. Kalau dituduh menciplak idea Lady Gaga, nampaknya saya sekadar perlu berdiam diri. Lagipun, tidak berbaloi setiap nafas saya bercakap tentang isu remeh-temeh ini. Hanya kualiti kerja saya sepanjang 10 tahun lepas mampu menjawab segala-galanya," tutur Christina yang seharusnya sudah mampu berbangga dianugerah karier terus cerah dan keluarga bahagia.

Sisi wanita Bionic

Berpengalaman penuh merakam tiga album studio - Christina Aguilera pada tahun 1999, Stripped (2002) dan Back To Basics (2006), terbaru, Bionic yang telah dilancarkan secara rasmi di Amerika Syarikat pada 8 Jun lalu menonjolkan sisi lain penyanyi berkenaan.

Dihamparkan banyak reviu positif berbanding negatif daripada pengkritik album, naskhah berkiblat R&B, pop, electropop dan synthpop itu dianggap istimewa kerana berfizikal futuristik. Jauh berbeza daripada tiga naskhah pernah dilahirkan sebelum ini.

"Idea membikin album keempat ini datang sejak dua tahun lalu. Waktu itu, saya telah cari material bagi dipenuhi ke dalam Bionic. Kemudian, saya berhenti seketika kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap projek filem muzikal, Burlesque arahan Steve Antin sekitar November 2009. 

"Sebaik saja komitmen dengan filem ini berakhir, saya tidak berbuat apa-apa kerana ingin merehatkan diri selepas penat menghabiskan waktu panjang di lokasi penggambaran. Masa sama, idea muncul mencurah-curah untuk menyiapkan album baru.

"Bayangkan, saya ada perkara mahu diperkata serta banyak ilham hendak ditulis dalam lagu-lagu baru. Lantaran itu, Not Myself Tonight sebagai single pertama saya dilahirkan. Rasa seronok melibatkan diri masuk studio sambil merakam lagu.

"Saya meraih ilham dengan muzik berirama elektronik termasuk penyanyi membawa genre jenis ini. Justeru, ada elemen elektronik disertakan dalam Bionic. Paling mengujakan, ada perbezaan tekstur pada alunan vokal saya yang tidak pernah terfikir hendak buat macam ini.

"Kesimpulannya, saya berjaya meneroka multi personaliti diri. Macam album-album terdahulu, setiap satunya menjadi representatif pengalaman kehidupan peribadi dan fungsi orang-orang di sekeliling membentuk saya.

"Bagi naskhah keempat ini, ia lebih berkisar saya sudah bergelar ibu, isteri dan terbaru pelakon," ujar Christina yang melakukan pentafsiran Bionic meninggalkan kesan ajaib terhadap dirinya dan peminat.

Album itu memerlukan kurang dua tahun untuk menyudahkan keseluruhan produksi itu terisi dengan lagu-lagu antaranya adalah Bionic, Not Myself Tonight, Woohoo, Elastic Love, Desnudate, Glam, Prima Donna, Morning Dessert, Sex For Breakfast, Lift Me Up, All I Need, I Am, You Lost Me, I Hate Boys, My Girls dan Vanity.

Islamic Greeting Card