Monday, August 9, 2010

Celaru lirik tak senonoh

SEKSI tak ingat dunia ada, mengaku bogel ada dan terbaru pula lirik tak senonoh. Ya... arena hiburan kita semakin cemerlang nampaknya. Cemerlang dengan kemunculan artis yang menggunakan matlamat untuk menghalalkan cara.

Bukannya Gayah anti perubahan zaman, tetapi yang salah daripada segi hukum, tetap menjadi satu kesalahan. Yang tidak sesuai dengan budaya kita, tetap tidak sesuai.

Apa akan terjadi jika benda yang salah dan tidak sesuai diubah menjadi sebaliknya. Alamatnya tunggang terbalik jadinya. Semua artis dah tak ada sebarang perasaan malu atau gentar untuk tampil dengan gaya seksi habis, makin ramai yang rela berbogel dan makin banyaklah lirik tak senonoh.

Apa kesannya? Sendiri mahu ingatlah! Hish... takutlah Gayah apabila memikirkan zaman akan datang. Sekarang pun dah ada artis yang lebih Hollywood dari Hollywood.

Opss... panjang pula mukadimah Gayah. Gayah sebenarnya nak bercakap mengenai isu lirik tak senonoh sebab sekarang isu itu hangat diperkatakan. Walaupun penyanyinya sudah memberi kenyataan, Gayah tak berkenan sangat dengan kenyataan yang diberi.
Memanglah lagu itu sedap didengar, malah ketika pertama kali mendengarnya, tak sangka pula ia dinyanyikan penyanyi Malaysia. Memang ‘kelas antarabangsa’.

Bagaimanapun, apabila diamati liriknya, i jadi sedih... marah pun ada juga. Kenapalah liriknya sebegitu rupa. Intipatinya pergaulan bebas dan terang-terangan berbaur seks.

Penyanyi itu memberi alasan ia sekadar lagu. Memanglah ia lagu, tetapi kenapa harus begitu. Kenapa liriknya begitu. i rasa tanpa lirik seperti itu, bukannya tidak boleh menghasilkan lagu yang sedap didengar.

Kalau beri alasan begitu, selepas ini bolehlah orang lain ikut dan beri juga alasan sama. Semakin lama semakin banyaklah lirik tak senonoh muncul dalam arena hiburan kita. Boleh ke macam itu? Soal memberi sepenuhnya tanggungjawab kepada pendengar tidak sesuai dijadikan alasan. Kau sebagai artis perlu berasa bertanggungjawab terhadap apa yang kau sampaikan.

Masyarakat kita pelbagai kerenahnya. Bukan sesuatu yang mustahil ada yang terikut-ikut dengan lagu yang kau sampaikan itu. Lihat saja pada isu Black Metal.

Pengikut Black Metal yang sekadar ‘layan’, memanglah menafikan terpengaruh dengan lirik lagu seperti itu, tetapi jangan dilupa ada golongan yang pendek akal dan bebal yang terpengaruh sehingga taksub. Sebab itulah ada yang sembelih kambing, pakai salib dan pelbagai lagi perbuatan tidak senonoh.

Bukannya i membenci penyanyi itu, tetapi i sekadar mengingatkan. Buat lagu sedap yang lain daripada yang lain tidak salah, tetapi pandanglah kiri dan kanan siapa khalayak kau. Kau menjadi perhatian masyarakat.

Cukuplah i membebel pasal lirik tak senonoh. i nak risik-risik perkembangan terbaru kemelut persatuan membabitkan industri perfileman kita. Seharusnya selesaikan segera kerana bosan melihatnya.

Banyak lagi benda yang perlu diselesaikan dalam industri perfileman kita. Carilah jalan bagaimana nak majukan industri ke. Ini tidak, sibuk ‘bergaduh’ pasal jawatan. Entah apa-apa entah.

Bagi i, semua sama saja. Masing-masing ada kepentingan sendiri. Sudah-sudahlah. Selesaikan dengan semangat setia kawan. Industri filem kita bukan besar sangat pun. Ke sana sini orang sama juga.

Sebelum berundur, i sebenarnya sentap sangat dengan penyanyi seberang yang kini heboh dengan foto bercium. Ingatkan baik sangat... rupa-rupanya.... hmmm... bencilah!

No comments:

Post a Comment

Islamic Greeting Card