Friday, July 30, 2010

Mansor tuntut RM40 juta

MANSOR Puteh kecewa apabila filem terbaru arahannya, Malaysian Snow gagal menjalani penggambaran gara-gara Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (Bank SME) tidak meluluskan pinjamannya sebanyak RM1.2 juta.

Menurut pemegang sarjana perfileman dari Universiti Columbia, New York, Amerika Syarikat ini, dia kesal apabila Bank SME membatalkan pinjaman yang telah diluluskan bagi membiayai penggambaran filem tersebut.

“Saya kesal kerana pinjaman itu pada mulanya telah diluluskan. Tetapi Bank SME kemudiannya membuat tuntutan perisytiharan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meminta supaya perjanjian pinjaman saya itu dibatalkan.

“Selepas itu saya hantar surat kepada mereka tetapi tidak mendapat jawapan. Saya kemudiannya telah memfailkan tuntutan balas supaya perisytiharan Bank SME itu tidak sah. Saya juga menuntut RM40 juta atas pembatalan itu.

“Ia sebagai tuntutan ganti rugi saya pembatalan tersebut. Buat masa ini peguam saya dari Azhar Arman Ali sedang menguruskan tuntutan saya itu,” katanya pada sidang akhbar di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas pengarah berusia awal 50-an ini, ekoran penantian selama hampir empat tahun bagi mendapatkan pinjaman itu, Malaysian Snow menghadapi masalah bagi memulakan penggambarannya.
Beliau berkata, pinjaman itu yang dipohonnya seperti diperuntukkan melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dibuat pada 2004.

“Saya menandatangani perjanjian pinjaman itu pada 2006 dan kini sudah empat tahun tetapi saya belum mendapat pinjaman tersebut. Tanpa pinjaman kewangan itu saya tidak boleh menjalani penggambaran filem itu.

“Ekoran kelewatan itu penggambaran Malaysian Snow bukan sahaja tidak dapat dijalankan, malah saya juga terpaksa menggugurkan senarai pelakon yang sepatutnya berlakon seperti Que Haidar dan Hasnol Rahmat.

“Saya dapati selepas empat tahun wajah dan karakter dua pelakon itu sudah semakin dewasa dan kurang sesuai melakonkan watak pelajar seperti yang saya inginkan dalam filem tersebut,” jelasnya.
Malaysian Snow, kata Mansor sepatutnya menjalani penggambaran di sekitar Nottingham, United Kingdom (UK) selepas Hari Raya Aidilfitri ini tetapi tanpa adanya pinjaman itu ia mungkin tidak dapat direalisasikan.

Filem yang skripnya ditulis sendiri oleh antara lain mengisahkan dua pelajar Malaysia berasal dari Kampung Serkam, Melaka yang belajar di sebuah universiti di UK dan mempunyai banyak persamaan satu sama lain.

Bagaimanapun, pada penghujung pengajian mereka, terdapat perbezaan di antara watak bernama Osman dan Zali menerusi filem itu yang akhirnya menyebabkan mereka membawa haluan hidup masing-masing.

“Saya merancang mengadakan penggambaran filem Malaysian Snow sebanyak 80 peratus lokasinya di Nottingham dan 20 peratus lagi di Malaysia. Malah, pihak University of Nottingham juga bersetuju memberi kerjasama.

“Impian saya untuk menjalani penggambaran filem itu setakat ini belum boleh dilaksanakan lagi kerana timbulnya masalah pinjaman kewangan dari Bank SME. Saya juga telah berhabis RM13,000 untuk urusan guaman kes ini,” katanya.

Bekas rakan sekuliah Ron Nyswaner di Universiti Columbia yang memenangi anugerah Oscar melalui kategori Lakon Layar Terbaik melalui filem Philadelphia (1992) lakonan Tom Hanks itu kini menyerahkan kes tersebut kepada peguamnya.

Kata pemilik syarikat produksi Uniti Films Sdn. Bhd. selaku penerbit Malaysia Snow ini, dia akan terus berusaha bagi mendapatkan pembiayaan bagi meneruskan pembikinan filem itu yang telah dirancangnya sejak lebih lima tahun lalu.

“Saya akan terus berusaha bagi menjayakan pembikinan filem ini. Ini kerana, saya merupakan sarjana perfileman dari Universiti Columbia dan ada pengalaman menerbitkan filem serta dokumentari sejak tahun 1980-an lagi.

“Jadi, takkanlah mereka (Bank SME) tidak nampak dan yakin dengan kemampuan saya? Kalau orang lain yang tidak ada sarjana atau pengalaman dalam bidang perfileman mendapat dana, mengapa saya tidak boleh dapat?” soalnya.

Selain bakal mengarahkan Malaysian Snow, Mansor sebelum ini pernah mengarah filem Seman pada 1988 dan dokumentari terbaru arahannya berjudul Bertahun Di Residensi yang mengisahkan Tunku Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

Islamic Greeting Card